043A1997.JPG043A1951.JPG043A2091.JPG043A1917.JPG

SUBANG, 16 November 2020 -Kumpulan Keempat Kontinjen MALBATT 850-7 selamat tiba di Pangkalan Udara Subang kira-kira jam 5.00 petang hari ini. Kumpulan  ini  merupakan kumpulan akhir dari 4 peringkat pergerakan bermula 2 Oktober lalu terdiri daripada 46 pegawai dan 150 anggota lain-lain pangkat (LLP) dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), seorang pegawai dan 5 anggota LLP dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang Pegawai Awam Kewangan. Mereka semua diaturgerakkan kembali ke tanahair setelah menamatkan penugasan dalam misi United Nation Interim Force In Lebanon (UNIFIL) selama setahun mulai 1 Oktober 2019 yang lalu.

Kontinjen MALBATT 850-7 keseluruhannya diketuai oleh Kolonel Khairul Anwar bin Soib, berkekuatan seramai 850 anggota terdiri dari 80 pegawai dan 770 anggota LLP termasuk 3 pegawai dan 27 anggota dari ABDB serta seorang Pegawai Awam Kewangan Kementerian Pertahanan.  Setelah setahun berkhidmat di bawah naungan panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), MALBATT 850-7 dengan rasminya telah menyerahkan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada MALBATT 850-8 yang diketuai oleh Kolonel Azudin bin Hassan pada 14 November 2020 lalu.

Sepanjang penugasan di bumi Lubnan, MALBATT 850-7 telah mempamerkan disiplin dan mutu kerja yang cemerlang sekaligus membuktikan keupayaan serta kemampuan ATM dalam melaksanakan misi pengaman di peringkat antarabangsa. Kontinjen ini juga berjaya mengekalkan reputasi baik di kalangan masyarakat setempat dan antarabangsa. Kesemua pegawai dan anggota yang telah kembali ke Malaysia menjalani pemeriksaan kesihatan serta kuarantin wajib selama 14 hari di MALBATT Village, Port Dickson.

#BerjuangBersama
#MALBATT850-7
#Misikeamanansejagat