DSC_0356.JPGDSC_0195.JPGDSC_0302.JPGDSC_0178.JPG

SUBANG, 1 Oktober 2020 – Majlis Pemakaian Beret, penyerahan bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-8 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz di Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Panglima Angkatan Tentera, KSU Kementah, Pesuruhjaya Tinggi Kedutaan Brunei Darussalam, Panglima-Panglima Perkhidmatan, Pegawai-pegwai Kanan ATM dan ABDB serta Pegawai-pegawai Kanan kementerian Pertahanan.
MALBATT 850-8 telah menjalani latihan penyesuaian selama 3 bulan merangkumi sebulan latihan perkhidmatan tunggal dan 2 bulan latihan integrasi atau Force Integration Training (FIT) di bawah kawal selia Markas Angkatan Bersama bertempat di Perkampungan MALBATT, Port Dickson, Negeri Sembilan. MALBATT 850-8 telah bersedia untuk diaturgerakkan ke Lubnan bagi menggantikan MALBATT 850-7 yang akan menamatkan misi United Nations Interim (UNIFIL) setelah berkhidmat 12 bulan.
Keseluruhan pegawai dan anggota ATM yang terdiri dari 80 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat (LLP) termasuk 3 pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan. MALBATT 850-8 diaturgerakkan ke Lubnan secara berperingkat melibatkan 4 peringkat penghantaran. Penghantaran Kumpulan Pertama melibatkan seramai 215 orang dan akan diketuai oleh Komander MALBATT-8, Kol Azudin bin Hassan bersama 53 pegawai dan 162 anggota lain-lain pangkat. MALBATT 850-8 akan meneruskan misi UNIFIL di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat UNIFIL. MALBATT 850-8 akan ditempatkan di 2 penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin dan akan melaksanakan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan.
Majlis pemakaian beret PBB diadakan secara simbolik dan dipakaikan kepada Komander MALBATT 850-8, wakil ketiga-tiga perkhidmatan (TD, TLDM, TUDM), wakil ABDB, wakil anggota wanita dan anggota lain-lain pangkat (LLP) ATM. Kerajaan Malaysia telah meluluskan penglibatan ATM dalam misi UNIFIL sejak tahun 2007 bagi membantu pasukan pengaman dari lain-lain Negara anggota PBB menguatkuasakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Buat pertama kalinya majlis penghantaran Kontijen MALBATT 850-8 tidak dihadiri oleh ahli keluarga pegawai dan anggota bagi mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.