77.jpg11.jpg66.jpg44.jpg

KUALA LUMPUR, 4 Mac 2020 - Majlis Perasmian Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao 15 (TPA M-15) telah disempurnakan oleh YBhg Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM bertempat di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia. Penghantaran TPA M-15 adalah kesinambungan dalam memenuhi hasrat Kerajaan Filipina dan juga persetujuan Kerajaan Malaysia untuk menghantar tim pemantau bagi tempoh dua belas bulan. TPA M-15 diketuai oleh Mejar Jeneral Dato’ Muhammad Anwar bin Abdulah selaku Ketua Misi akan meneruskan misi menggantikan TPA M-14 yang telah bertugas selama 12 bulan. TPA M-15 terdiri daripada 4 pegawai dan seorang anggota Tentera Darat Malaysia, 3 pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia, 3 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia, 2 pegawai Polis Diraja Malaysia dan 3 pegawai awam iaitu dari Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Perdana Menteri. Penglibatan Malaysia mengetuai Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao bermula pada 10 Oktober 2004 berikutan jemputan daripada Kerajaan Filipina atau Government of Philippines dan Moro Islamic Liberation Front. Sehingga kini sejumlah 14 tim telah diaturgerakkan menjalani misi di Mindanao. Tujuannya adalah untuk memantau gencatan senjata dan pembangunan sosio ekonomi di wilayah Mindanao. Turut hadir pada majlis tersebut adalah pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia serta wakil daripada kementerian yang terlibat.